hampas - 1)sisa benda yg telah diambil patinya
- 2)tidak berguna, sia-sia
Hampas, kategori mahasiswa yang keluar dari mulut seorang TNC universiti terkemuka. Sangat terkesan dengan pernyataan ini kerana keluar dari pentadbiran tertinggi universiti sendiri. TNC UPM juga pernah mengatakan kualiti pelajar adalah rendah. Bermakna memang ini persepsi pentadbiran universiti dan aktiviti pembelajaran harus seiring dengan hampas.
Melihat kepada sekeliling, memang ada kebenarannya. Mahasiswa tidak perlu melenting sebaliknya melihat kepada diri sendiri. Saya percaya rujukan hampas itu tidak merujuk kepada pembelajaran dan pengajaran tetapi lebih kepada mentaliti. Mahasiswa terlalu berorientasikan peperiksaan sehingga lupa aspek yang lain. Soalan mudah saya kepada mahasiswa, tolong senaraikan 5 buah buku terakhir yang telah dibaca. Berdasarkan sekeliling saya percaya soalan ini sukar dijawab. Bila kali terakhir pergi ke perpustakaan? Masa yang ada sekarang terarah kepada hiburan semata-mata. Muka buku, karaoke, melepak, permainan komputer semuanya menjurus kepada hampas. Bukan melarang tetapi ada hadnya, jangan sampai setaip waktu senggang dihabiskan di hadapan komputer.
Mahasiswa perlu mempunyai minda yang lebih baik dari orang kebanyakan. Boleh berbicara mengenai pelbagai topik. Ini tidak, yang mereka tahu hanyalah dunia sekangkang kera mereka sendiri. Apa terjadi di sekeliling dunia tidak dipedulikan. Isu-isu semasa dipandang remeh, budaya membaca langsung tiada. Surat khabarpun jarang dibaca. Kalaupun dibaca hanyalah bahagian belakang dan hiburan. Paling tidak, tonton sahaja berita di tv. Bukan setakat drama-drama picisan yang tiada topik lain selain cinta. Terlalu klise.
Menjadi mahasiswa bukan sahaja untuk mendapat pekerjaan. Mahasiswa akan menjadi pemimpin syarikat, pemimpin pekerja, pemimpin masyarakat dan paling tidak pemimpin keluarga. Jika budaya sekarang diteruskan beza mahasiswa dengan orang yang tidak pergi ke universiti hanyalah sekeping ijazah yang kadangkala tidak laku jika dibandingkan dengan pengalaman.
Pelajar yang dihantar ke luar negara telah ditemuduga dan semestinya mereka lebih dari sekadar ulat buku semata-mata. Jujurnya saya bersetuju dengan pandangan Prof Dr Zaini Ujang tersebut. Sebagai individu peringkat tertinggi yang mencorak mahasiswa yang ada, semestinya ada asas kenyataan yang keluar dari beliau. Semestinya bukan semua mahasiswa hampas tetapi beliau melihat mahasiswa secara keseluruhan.