Saturday, October 9, 2010

Dosa Kedua

Sedang aku membelek-belek computer ribaku, aku terlihat video ‘Malayan Emergency’. Seakan terpanggil, aku mencuri hampir dua jam dari hidupku mengulang tonton dokumentari tersebut. Perasaanku sama seperti aku menonton teater Tun Mahathir, aku tidak berasa bosan malah aku percaya penonton-penonton lain juga tidak berasa seperti sedang belajar sejarah di sekolah padahal kedua-duanya menceritakan benda yang sudah berlalu-yang kita gelar sejarah.

Apa itu sejarah melainkan timbunan informasi dan tarikh-tarikh terjadi suatu perkara untuk disoal dalam SPM. Untuk apa diingat tarikh-tarikh tersebut hanyalah sebagai formaliti sahaja. Habis periksa, semua dilupa.
Sejarah di sekolah hanya membunuh minat pelajar itu sendiri. Ianya tidak boleh ditelan, lebih susah dari matematik, fizik dan kimia. Tiada formula untuk diguna. Ada yang berpendapat sejarah disekolah hanya sebagai alat ‘brainwash’ generasi muda. Itu cerita lain, fokus apa yang ada dahulu.

-------------------------------------------------------------------------------------

Teater Tun Mahathir dan dokumentari ‘Malayan Emergency’ menceritakan sejarah dari sudut yang lain. Dan aku suka mengatakan mereka berjaya. Penonton teater memberikan ‘standing ovation’, walaupun ceritanya seperti belum digilap sepenuhnya, aku kira mereka berjaya membawa penonton menyelami serba sedikit jalan hidup seorang negarawan. Bukan kerja mudah menceritakan pahit manis 85 tahun dalam masa 3 jam. Aku tidak tahu statistik dokumentari tersebut tetapi dari komen-komen di ‘youtube’ aku tahu mereka berjaya. Ada yang menulis dia baru faham apa yang buku teks sejarah tingkatan 3 cuba ceritakan selepas menonton dokumentari tersebut.

Kedua-duanya menceritakan apa yang sepatutnya diajar di sekolah. Kita fokus pada ‘Malayan Emergency’ kerana lebih mudah dirujuk(ada di 'youtube'). Ia menceritakan kejadian yang berlaku dalam 12 tahun perang tidak rasmi Malaysia dengan komunis. Ia menceritakan kenapa, bagaimana, di mana dan bila mereka terjebak dengan komunis. Ia mewawancara polis, orang awam, juga bekas-bekas komunis yang menyerah semasa zaman darurat tersebut lama sebelum kita generasi X, Y atau Z dilahirkan.

Gambar mayat-mayat di hadapan balai polis, rundingan Baling, dan pengalaman komunis di dalam hutan semasa bekalan makanan disekat dan bunyi bising dari kapal terbang yang terbang rendah begitu membingitkan.

Akhirnya, aku percaya ramai yang faham mengapa dan bagaimana semua ini berlaku, tidak hanya setakat mengetahui bila.

-------------------------------------------------------------------------------------

Biar aku beri contoh jika masih ada yang tidak percaya. Di salah sebuah hostel di UPM, ada sebuah tandas yang cantik dihiasi contengan vandalisme. Walau sudah samar-samar aku masih berjaya membacanya, ianya tertulis SEMBAHYANG JANGAN JERIT. Aku percaya ianya merujuk azan dan solat berjemaah orang Islam. Siapa hendak dipersalahkan atas hal ini. Sikap cauvinisnya kah, kurang ajarnya atau kita semua memandang dari sudut yang salah. Mungkin dia tidak faham mengapa orang Melayu mendapat semua keistimewaan tersebut. Biasiswa, pekerjaan, Islam dan sebagainya. Aku tidak bercakap tentang orang-orang totok politik yang sengaja tidak mahu faham, aku bercakap tentang remaja-remaja yang bercakap ikut sedap mulut mereka.

Mungkin sahaja dia tidak faham bila semua itu ditukarkan dengan kerakyatan datuk moyang mereka. Tiada penduduk asal sesebuah negara yang berkorban lebih banyak dari penduduk Tanah Melayu pada waktu itu. Indonesia tidak berbuat apa yang Melayu buat. Bagaimana mereka mahu faham jika di dalam buku teks hanya menceritakan cerita yang baik-baik sahaja. Bangsa Melayu berkorban mengurangkan majoriti, menang besar pilihanraya pertama kerana sokongan orang Melayu terhadap wakil bukan Melayu. Tidak pernah dicerita tentang kontrak sosial yang menjadi modal kempen sewaktu itu. Kontrak yang akan dipegang selagi wujud Malaysia terchenta ini. Itu sebab semakin lama, semakin ramai yang mempersoalkan hak-hak kita kerana ramai yang tidak faham.

‘Those who cannot remember the past are condemned to repeat it’ quoted from the bottom of every page of history form 5 text book.

Jika tidak mahu sejarah-sejarah busuk Negara berulang, mulakan dengan mengubah cara sejarah itu diceritakan bukan untuk menjaga perasaan sesuatu kaum tanpa perasaan Melayu dijaga.

INILAH DOSA KEDUA-PENCERITAAN SEJARAH …

1 comment: