Thursday, December 30, 2010

Surat Buat Kepimpinan FAM II

Ke hadapan kepimpinan tertinggi FAM,

Sejuta tahniah saya ucapkan atas kemenangan skuad negara dalam piala AFF. Good job, well done to the players. Juga terima kasih kepada semua penyokong-penyokong setia skuad negara yang tiba-tiba berlipat kali ganda, tahniah buat anda semua. Diharap sokongan anda berterusan. Cuma yang bawa laser ke dalam stadium Bukit Jalil tempoh hari, di harap lain kali tak payah datang stadium lagi. Memang kita menang bukan kerana laser tetapi ini menjadi duri dalam daging kepada persembahan skuad negara malam 26 Disember lalu.

Tidak dinafikan skuad ini mempunyai harapan cerah jika terus di beri pendedahan. Pemain seperti Muslim, Safiq, K. Fahmi menonjolkan karekter pemain bolasepak sebenar. Bijak membaca perlawanan adalah amat penting selain kemahiran asas yang lain. Walau bagaimanapun jangan cepat berpuas hati kerana kita belumpun mencapai tahap yang pernah kita lalui dahulu. Kita sedang mendaki kembali curam yang kita jatuh dahulu. Sasaran kita adalah piala dunia, saya bukan bersikap tidak realistik tetapi suatu masa dahulu, kita lebih baik dari Korea dan sudah layak ke olimpik. Ini bermakna kita menempuh zaman gelap selama beberapa tahun. Saya mengharapkan kemenangan ini sebagai titik mula pendakian kita.

Buat barisan kepimpinan,

Izinkan saya mengutarakan beberapa pandangan. Saya percaya pemain-pemain banyak meningkat semasa bermain di Slovakia(satu usaha FAM, kredit di mana perlu, tiada penafian). Dengan sesi 2011, skuad harimau muda akan kembali ke liga super. Saya pernah menulis serba sedikit tentang liga kita sebelum ini. Berpijak kepada bumi yang nyata, sukar saya ungkap tetapi liga kita kurang dari mutunya. Juara liga perdana 2009, tetpi sejauh mana liga Super mampu membentuk pemain berkaliber sedangkan liga super tidak jauh berbeza dengan liga perdana. Seringkali kita dengar pasukan liga super tewas kepada pasukan liga perdana. Cadangan saya, hantarkan pemain-pemain ke luar negara. Jika kewangan menjadi kekangan, hantarkan pemain-pemain utama harimau muda ke kelab-kelab luar negara. Pemain seperti Muslim dan Fadhli Sas akan menjadi lebih berpengalaman. Dengan tindakan flip flop anda dalam FAM(cth-pemain import, sekejap ada sekejap tak ada, harimau muda juga pernah jadi mangsa tidak dapat duit hadiah, dll) adalah baik beliau meneruskan karier di luar. Pemain-pemain lain juga mempunyai potensi untuk berkembang tetapi jika kos menghantar satu pasukan terlalu tinggi, cukuplah sekadar menghantar pemain-pemain utama ke kelab-kelab berlainan..

Kita tidak akan selama-lamanya bergantung kepada skuad ini. Paling lama mungkin 10 tahun memandangkan purata umur mereka dalam 23 tahun. Perlu ada perancangan konkrit tentang pembangunan akar umbi. Bakat kita bermula di peringkat sekolah seterusnya daerah dan negeri. Kita tidak ada program seperti di eropah yang berpaksikan kejiranan yang sukarela membuat program asas bolasepak bagi mengelakkan unsur negatif di kalangan remaja. Untuk itu kita memerlukan jurulatih yang bagus di peringkat sekolah lagi. Tidak seperti saya bermain untuk sekolah dahulu yang jurulatihnya ikut siapa yang suka turun padang sahaja. Bukan semua bekas pemain negeri mempunyai karier yang baik selepas bersara. Apa salahnya mereka ini dibayar untuk melatih pasukan akar umbi. Kalau tidakpun di peringkat sekolah, lantik mereka di peringkat daerah.

Langkah FAM meminta pasukan mencari penajaan sendiri bolehlah dipuji. Liga Hoki boleh dijadikan contoh. FAM perlu meneruskan momentum peminat yang ada sekarang. Tingkatkan mutu liga kita buat 5 ke 6 tahun dari sekarang dan selepas itu kita tidak perlu lagi menghantar pemain ke luar secara tajaan lagi. Tidak mustahil pemain kita dirisik kelab luar, tidak semestinya kelab utama cukup sekadar liga yang berbeza dari kita.

Sebelum saya terlupa, saya harap FAM boleh memantau setiap pertandingan peringkat tertinggi di Malaysia ini. Saya cadangkan padang daerah Tapah sebagai gelanggang kecemasan. Sekurang-kurangnya ianya 10 kali lebih baik dari venue akhir pertandingan akhir piala emas raja-raja. Samada ianya di bawah FAM atau pihak lain tetapi pertandingan peringkat nasional, siaran langsung, selagi ianya bolasepak awam masih menuding ke FAM. Ini akan membunuh minat penonton dek permainan dalam sawah.

Barisan kepimpinan,

Ini sekadar idea saya sebagai seorang peminat bolasepak negara yang sentiasa mengharapkan yang terbaik buat negara. Selain minat yang mendalam, saya melihat bolasepak sebagai satu medium terbaik dan penting menyatukan rakyat pelbagai agama dan bangsa. Jika langkah mendaki ini diteruskan, saya percaya peminat mampu melupakan dosa silam FAM salama bertahun-tahun.

Majulah FAM untuk bolasepak Malaysia.

Yang benar,
Tuah Jebat.
(Peminat Bolasepak Malaysia)

1 comment:

  1. yeah...hidup harimau malaya...mangsa seterusnya ialah oranje.mari kita ratah Oranje..

    ReplyDelete