Ke hadapan pimpinan tertinggi FAM..
Pertama-tamanya saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kerana menyediakan sebuah liga yang 'sangat' menarik dan kompetitif bagi rakyat Malaysia. Corak permainan dan gol-gol yang dijaringkan sungguh berkualiti seperti di EPL. Pemain-pemain pula tanpa diragui mempunyai kemahiran tinggi seperti pemain Eropah.
Dek kerana kemahiran yang tinggi itulah liga kita tidak seperti di negara lain. Seminggu ada dua perlawanan. Ambil contoh pasukan Perak pada 10 september(Jumaat) bermain di Kedah, dan 13 september(Isnin) bermain di Johor.Maaf tapi jadual ini merepek. Bukan mencari alasan tetapi cuba bayangkan, katakan pasukan bertolak ke Ipoh pada pagi Sabtu dan rehat sehari diberikan maknanya hari sabtu tersebut memang tiada latihan. Pada hari Ahad bertolak ke Johor untuk mengelakkan perjalanan hari Isnin yang memenatkan. Bila masa mereka membetulkan kesilapan perlawanan terdahulu? Itu belum lagi dikira pasukan dari Sabah dan Sarawak. Oh maaf,saya terlupa yang pemain kita berkualiti tinggi.
Saya tidak tahu untuk membuat jadual, tetapi bagi saya jadual liga memang merepek. Sedang liga berlangsung, masa itulah hendak diadakan perlawanan antarabangsa. Ambil pemain pasukan negeri, biar negeri tanggung kekalahan. Kenapa di Jepun dan Korea tidak pernah bertembungpun jadual liga dan perlawanan antarabangsa mereka. kita tidak boleh menbandingkan dengan Eropah sebab mereka tidak hebat, itu sebab saya banding dengan negara yang dahulu setaraf dengan kita. Tetapi hari ini, kita jauh meninggalkan, opps silap, ditinggalkan mereka. Mereka sudah sampai hingga ke Piala Dunia tetapi kita masih berbangga dengan si tukang angkat 'signboard' di tepi padang semasa Piala Dunia. Tahniah FAM kerana berjaya meletakkan wakil di Piala Dunia.
Liga kita juga merupakan satu-satunya liga profesional yang tidak membenarkan pemain import. Maklumlah, pemain kita lebih handal dari pemain luar, tidak perlu tunjuk ajar orang lain. Tengok sahaja kehadiran penonton yang melambung sejak menghapuskan pemain import. Tetapi sebagai orang yang masih mengikuti liga yang sungguh seronok ini, ada ura-ura yang pemain import ini akan kembali. Untuk lebih mengurangkan keseronokan ligalah agaknya. Disini ingin saya memberi idea supaya pemain import di ambil sebanyak 5 orang tetapi dihadkan kepada tiga setiap perlawanan. Pada logik akal saya jika sebelum ini 3 orang, maknanya pada setiap kali latihan kelompok mereka ini masih sebagai minoriti dan secara logiknya yang sedikit akan mengikut yang ramai dan akhirnya taraf permainan pemain import tadi akan terjejas. Tetapi jika diambil 5 atau 6 orang, permainan akan lebih adil dan memberi peluang pemain lokal untuk lebih belajar dari pemain import.
Yang ini saya memang cukup kagum, bab penonton. Fanatik yang amat sangat kalah kelab-kelab lain di dunia(ada sesetengah negeri sahaja yang tidak banyak penonton itu, nasiblah). Saya tahu ini bukan kerja FAM tetapi disebabkan saya masih sayangkan liga ini terpaksa saya tulis juga. Mercun, baling botol, bakar kerusi dan sebagainya membantutkan niat penonton untuk ke stadium. Jadi mana-mana pasukan yang berbuat sedemikian, kenakan sahaja tindakan bermain tanpa penonton. Pedulikan rayuan-rayuan, penonton perlu bertanggungjawab terhadap tindakan penonton. Lama-kelamaan saya percaya mereka akan lebih bertanggungjawab. Kalau susah sangat, berikan sahaja ganjaran kepada sesiapa yang berjaya menangkap gambar si pembaling mercun, botol atau berkelakuan tidak rasional di dalam stadium. Ganjaran berupa tiket percuma perlawanan seterusnya sudah memadai.
Satu masalah yang memang di bawah tanggungjawab FAM adalah pengadil. Tetapi kemarahan penonton tidak mungkin kerana mutu pengadilan. Pengadil-pengadil di Malaysia semuanya baik kalau tidak mana mungkin terpilih untuk menjadi si tukang angkat 'signboard' di tepi padang sewaktu Piala Dunia. Keputusan mereka mesti betul, penonton yang marah itu mesti tidak tahu undang-undang bolasepak. Maklumlah, kita ini semua tidak terdedah kepada permainan negara-negara luar seperti EPL. Penonton tidak tahu 'offside' itu macamana. Itu semua sukahati penjaga garisan sahaja.
Akhir kata, kepada kepimpinan FAM saya amat berdukacita jika tuan-tuan mengambil segala saranan saya dan pengkritik-pengkritik bolasepak di Malaysia kerana bolasepak di Malaysia sudah mencapai tahap yang membanggakan. Menang Emas di sukan SEA sudah memadai. Semua kritikan-kritikan itu saya percaya hanya untuk melariskan suratkhabar dan untuk menjadi popular.
Majulah FAM untuk bolasepak Malaysia.
Yang benar,
Tuah Jebat.
(Peminat Bolasepak Malaysia)
No comments:
Post a Comment